Tuesday 1 September 2015

SYARAHAN 2015

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis. Kombinasi panel hakim yang arif lagi bijaksana. Guru-guru pengiring, rakan-rakan seperjuangan serta sidang hadirin pendengar setia yang saya kasihi. Assalamulaikum dan Salam Sejahtera. Salam pembuka bicara.

Biar hujan datang berkurun. Biar badai datang menerpa. Biar halilintar menyambar bumi. Biar bumi terus bergoncang. Namun saya akan terus berdiri teguh disini Untuk menyampaikan syarahan saya .

Dengan gabungan tema Hormat Menghormati dan Perpaduan. Saya akan  mengupas tajuk Hormati Menghormati Memupuk Perpaduan.

Ke gunung sama didaki,
Ke lurah sama dituruni,
Hormat-menghormati amalan murni,
Perpaduan dipupuk hidup harmoni.

Hadirin sekalian.
Hormat bermaksud mempunyai pandangan yang tinggi terhadap  seseorang. Perpaduan pula membawa definisi bekerjasama. Oleh itu, jelaslah amalan hormat menghormati akan memudahkan usaha kerjasama yang erat dan jitu.

Sidang hadirin sekalian.
Pertama. Hormat kepada keperibadian individu. Kita dijadikan istimewa dan berbeza-beza. Amat penting untuk kita menghormati sifat-sifat seseorang. Jagalah perasaan mereka dan jangan memandang rendah kepada mereka. Ini akan mengelakkan terjadinya konflik sekaligus memupuk kerjasama.

Hadirin pendengar yang setia.
Yang kedua, hormat dan taatlah kepada ibubapa kita. Satu kewajipan seseorang anak bagi memuliakan ibu bapa. Ini dapat dizahirkan dengan kita menolong ibu bapa, bercakap dengan sopan dan tidak melawan cakap mereka. Dengan sikap hormat menghormati kita akan dapat membina satu unit keluarga yang bersatu padu dalam menghadapi apa jua dugaan dan cabaran.

Sidang dewan yang dirahmati.
Yang ketiga,hormat dan taatlah kepada orang yang lebih tua, guru, rakan dan jiran tetangga. Kita boleh menunjukkan rasa hormat dengan memberi layanan yang baik. Bersedialah menerima nasihat dan tunjuk ajar daripada mereka. Ini akan mewujudkan persefahaman antara masyarakat yang menjana perpaduan yang erat.

Sidang hadirin yang dimuliakan.
Yang keempat, hormat kepada kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan. Janganlah kita mengejek, mengutuk, menghina adat dan kepercayaan orang lain  Dengan ini, semua keturunan dan kaum yang ada di Malaysia akan saling bersatu padu.

Sidang pendengar yang setia,
Yang terakhir iaitu yang kelima adalah hormat dan patuh kepada undang-undang. Kita perlu menerima dan mematuhi undang-undang. Bila semua undang-undang dihormati, maka kita dapat hidup secara harmoni.

Demikianlah sudah syarahan saya pada hari ini. Untuk dihormati kita perlu menghormati. Hormat menghormati memupuk perpaduan.

Yang jauh kita dekatkan.
Yang dekat kita rapatkan.
Yang rapat kita mesrakan.
Yang mesra kita abadikan.
Izinkan saya mengundur diri. Sekian, Terima Kasih. 

No comments:

Post a Comment